Friday 20 September 2013

Tokoh




                  Pada tahun 1811, sebuah persembahan tari penuh gemalai, diiringi orkestra perunggu telah dibawa dari istana Riau-Lingga bagi menyerikan satu majlis perkahwinan diraja yang berlangsung di Pekan, Pahang. Sejak itu, seni persembahan ini, yang kini dikenali sebagai Gamelan Melayu, berkembang menjadi hiburan eksklusif untuk keluarga diraja serta tetamu istana di Pahang dan kemudiannya di Terengganu. Dari tahun 1914 sehingga 1942, usaha dan kecintaan pasangan diraja Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1875 - 1942) bersama permaisuri Tengku Ampuan Mariam telah mengangkat seni gamelan Melayu ke zaman kegemilangannya. Namun pemergian sebahagian tokoh-tokoh gamelan ini, serta Perang Dunia ke-2 menyebabkan kesenian ini hampir lenyap, menjadikannya satu warisan terpendam.
24 tahun kemudian, sewaktu Mubin Sheppard sedang mengkaji seni ukiran Melayu di Istana Kolam, beliau terpandang akan instrumen gamelan yang telah sekian lama tersimpan sepi. Penemuan pada tahun 1966 ini lantas mencetuskan usaha menghimpunkan semula pemuzik-pemuzik lama yang diketuai oleh Pak Mat, serta penubuhan kumpulan penari baru di bawah tunjuk ajar Mak Nang, yang merupakan primadona gamelan di istana suatu masa dahulu. Maka, gamelan Melayu dihidupkan semula dan bermula dari sebuah persembahan aluan di Istana Kolam, kumpulan yang dikenali sebagai Orkes Gamelan Diraja Terengganu ini kemudian dibawa ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur untuk membuat persembahan buat julung-julung kalinya di khalayak umum.
Kini gamelan Melayu telah membuka tirainya kepada dunia. Semoga keindahan dan keasyikan seni warisan ini dapat dinikmati, dilindungi dan diperkembangkan oleh generasi seterusnya.

No comments:

Post a Comment